



Kota Bharu hari ini dipenuhi ribuan rakyat yang datang dari seluruh pelusuk negeri bagi member sokongan kepada kepimpinan Tuan Guru Dato’Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sokongan padu rakyat Kelantan sekali gus menangkis demontrasi ratusan penyokong umno di perkarangan Kompleks Darulnaim baru-baru ini.
Kedatangan mereka di sekitar Jalan Dato’Pati (Dataran Ilmu) tidak dibayar sesen pun untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh TGNA.
Biarpun cuaca redup dengan hujan sekali sekala lebat, ia tidak menghalang puluhan ribu rakyat Kelantan hadir menyatakan kasih dan sayang mereka kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Ada yang datang dari Besut, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan negeri-negeri lain bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut.
Pelbagai sepanduk dapat dilihat, ada yang bertulis ‘Kita Sayang Tok Guru Kita’, ‘Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz’, ‘Royalti bui-builah (bagi-bagilah)’ dan ramai yang memakai lilit kepala bertulis ‘We Love Tok Guru’.
Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud dan penduduk bukan Islam serta pemimpin KeADIlan negeri.
Lebih menarik lagi apabila pemimpin masyarakat Cina, India turut berucap di hadapan ribuan yang hadir.
Lim Guan Seng mewakili masyarakat Cina menyatakan kaum tersebut di Kelantan dapat hidup aman damai di bawah pemerintahan PAS yang dipimpin oleh Tok Guru.
“Masyarakat Cina berdiri teguh di belakang Tok Guru. Kami masyarakat Cina menentang keras usaha-usaha pihak lawan yang mahu menjatuhkan Menteri Besar,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.
Tharuman wakil masyarakat India juga menyatakan masyarakat India di Kelantan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tok Guru.
Ucapan dalam bahasa Tamil membuat orang ramai menjadi riuh rendah seketika.
Wakil institusi pondok tradisional di Kelantan, Ustaz Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas, Pasir Mas secara terbuka meminta rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan bangsa memberi sokongan padu kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Wakil KeADILan yang begitu bersemangat berucap berkata, ribuan rakyat yang hadir hari ini tidak dibayar sesen pun untuk hadir menyatakan sokongan kepada Menteri Besar.
“Tidak ada sebuah kerajaan yang bersih di negara ini kecuali Kelantan sepanjang ditadbir Tok Guru hampir 20 tahun,” ujarnya.
Beliau juga mencabar pemuda Umno berdebat pada bila-bila masa untuk membincang isu royalti yang menjadi hak milik rakyat negeri ini cuba dinafikan perdana menteri.
Sementara itu wakil kerajaan negeri Dato’Husam Musa berkata tiada sebab untuk TGNA nak letak jawatan pada masa kini.
“Kalau nak kira keletihan TGNA ,ia dah lama letih,sering sakit,masa saya jadi SU Politik dulu lagi dia sering kepenatan dan sakit,keluar masuk hospital,sampai saya tak sempat nak ziarah,ini kan pulak masa kini,”ujar beliau.
Husam juga berharap dengan sokongan padu dari rakyat negeri ini dan pelbagai kaum menggambarkan kepimpinan TGNA masih diperlukan.
“Saya juga hairan mengapa bila TGNA kata nak berdoa untuk kesejahteraan Kelantan dan lembutkan hati pemimpin pusat agar beri balik hak Kelantan,rakyat negeri ini pulak yang marah,kita nak hak kita,bukannya nak hak demo”ujar beliau lagi.
Di majlis yang sama rakyat Kelantan menyerahkan memorandum sokongan kepada kepimpinan TGNA dan berdiri teguh di belakang kerajaan agar mendapat hak royalty bukannya wang ehsan.